Wednesday 30 November 2011

TUMBESARAN HAIWAN

1.     Selepas dilahirkan atau ditetaskan daripada telur, anak-anak haiwan sama
         ada akan:
·        mempunyai rupa dan bentuk yang sama dengan ibunya, atau
·        tidak mempunyai rupa dan bentuk yang sama dengan ibunya.

2.     Anak haiwan yang menyerupai ibunya semasa dilahirkan akan terus
        membesar  sekiranya mendapat keperluan asas yang mencukupi dengan
        mengalami perubahan saiz.

3.     Contoh anak haiwan yang tidak menyerupai ibunya selepas ditetaskan
        ialah rama-rama dan katak.

4.     Anak rama-rama dan katak akan mengalami perubahan rupabentuk
        mengikut fasa-fasa tertentu, contohnya:


Kitar hidup rama-rama

Telur rama–rama adalah amat kecil, bujur, atau berbentuk silinder, mempunyai sangkar yang amat halus dan lain–lain struktur mikroskopik. Rama–rama betina bertelur pada daun, batang tumbuhan, atau objek–objek yang lain, selalunya pada atau berhampiran sumber makanan untuk beluncas.

Beluncas (larva) adalah panjang, peringkat yang kelihatan seperti cacing. Ia selalunya mempunyai corak-corak jalur atau tompok – tompok yang menarik, dan juga mempunyai rerambut halus seakan – akan duri-duri halus. Ia merupakan peringkat mendapatkan makanan dan tumbesaran. Sepanjang perkembangannya, ia menanggalkan kulitnya empat kali atau lebih untuk membaluti atau menyelaputi badannya yang membesar.

Pupa (krisalis) adalah peringkat transformasi dalaman yang mana tisu–tisu beluncas mengalami penggantian membentuk struktur serangga dewasa. Warna pupa kebanyakan spesis ialah jingga atau hijau dan ia sama dengan warna persekitaran.

Peringkat dewasa (atau imago) adalah rama–rama atau kupu-kupu yang berwarna–warni. Ia adalah peringkat reproduktif dan boleh bergerak bagi spesis rama – rama. Peringkat dewasa melalui proses memikat, mengawan dan bertelur. Peringkat rama – rama atau kupu – kupu dewasa juga merupakan peringkat di mana mereka bermigrasi atau mengkoloni sesuatu habitat tertentu.



Kitar hidup katak
Peringkat 1 – Telur (Frog spawn)
Katak menghasilkan telur di dalam air atau kawasan berair. Telur–telur katak melekat antara satu sama lain membentuk sekelompok telur. Katak bertelur berpuluh puluh sehingga beratus-ratus biji telur. Ini adalah cara semula jadi untuk memastikan kemandirian hidup spesisnya. Telur katak dilindungi dan dikelilingi dengan struktur seperti agar–agar dan agak licin. Katak betina tidak akan menjaga telur–telurnya selepas bertelur.
Peringkat 2 – Berudu (tadpoles)
Selepas 21 hari tempoh perkembangan, embrio akan meninggalkan cengkerang agar – agar dan melekatkan dirinya pada rumpai air di dalam air. Kemudian ia menjadi berudu. Berudu akan membesar sehingga ia berjaya berenang di dalam air. Ini mengambil masa 3 hari hingga 3 minggu. Berudu makan tumbuhan air yang kecil yang melekat pada tumbuhan air yang lebih besar. Tumbuhan kecil ini dipanggil alga.
Berudu mempunyai ekor yang panjang, dan tinggal di dalam air. Ia mudah mati, dan bergantung kepada keupayaan menyamar untuk melindunginya. Berudu juga terancam dan ia boleh dimakan oleh hidupan air yang lain. Kadangkala berudu mati apabila kolam atau kawasan berair menjadi kering.

Peringkat 3 - Berudu mula berubah
Selepas 5 minggu, berudu mula berubah. Kaki belakang mula terbentuk, diikuti dengan kaki hadapan. Kaki hadapan terbentuk di bahagian belakang kepalanya yang bonjol. Ekor berudu mengecil. Paru – paru mula berkembang, untuk membolehkan katak hidup di darat. Pada peringkat ini, berudu akan berenang ke permukaan air untuk bernafas. Ekornya juga membantu ia berenang untuk mendapatkan makanan. Berudu mula makan tumbuh–tumbuhan dan haiwan yang reput.

Peringkat 4 – Hampir jadi katak (Froglet)
Lama–kelamaan, berudu akan mula kelihatan seperti katak. Ia menanggalkan kulit. Mulutnya mula melebar, dan rahangnya mula hilang. Ekor mengecil, dan kaki membesar. Paru–paru semakin menjalankan fungsinya.

Peringkat akhir – Katak (Frog)
Selepas 11 minggu, ia telah berkembang dengan lengkap, katak yang mempunyai paru- paru, kaki dan tanpa ekor. Ia mula keluar dari air. Katak lebih banyak menghabiskan hidupnya di darat, berbanding di dalam air. Katak yang kecil ini mula memakan serangga. Ia akan menjadi katak dewasa dan akan mencari pasangan. Katak betina akan bertelur dan proses ini berulang kembali.







No comments:

Post a Comment